Lupakan kekalahan di Sukan Sea-TMJ

“LUPA apa yang dah jadi. Jadikan benda itu (kekalahan) sebagai satu pelajaran untuk kita menuju ke hadapan.”

Begitulah titah Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim kepada pemain skuad bawah 22 tahun (B-22) negara selepas skuad bimbingan Datuk Ong Kim Wee terlepas menggenggam pingat emas, kelmarin.

Menurut Tunku Ismail, kekalahan pedih yang dilalui skuad negara kali ini seharusnya mematangkan mereka dalam persediaan ke Kejohanan AFC di China tahun depan.

“Kalah menang normal dalam sukan. Apa yang penting belajar kesilapan, belajar daripada kekalahan dan menggunakan benda ini sebagai senjata untuk kita pada masa yang akan datang.

“Tak ada orang suka kalah tetapi itu tak bermakna ni perjalanan akhir kita. Awak semua pemain yang muda.

“Walau apa pun, macam mana yang saya cakap tadi, kita akan sentiasa bersatu. Kita akan cuba memperbaiki apa yang kita boleh memperbaiki. Insya-ALLAH, perjalanan anda masih jauh lagi dan syabas, jangan berasa sedih,” katanya ketika menemui pemain di bilik persalinan selepas tamat perlawanan menerusi video yang dimuat naik di Facebook rasmi FAM, malam kelmarin.

Bagi Tunku Ismail, prestasi yang dipamerkan pemain muda negara sangat membanggakan walaupun gagal dalam misi membawa pulang pingat emas.

“Saya tengok hari ini saya ada dua mixed emosi. Satu saya kecewa dengan kekalahan. Satu, saya rasa bangga dengan apa yang kita ada untuk masa yang akan datang. Anda semua adalah aset kepada negara. Tiada seorang pemain di sini yang harus rasa sedih. Memang patut sedih, memang patut kecewa tetapi tiada seorang pun yang berada dalam bilik ini telah memalukan negara.

“Saya sebagai Presiden FAM berasa amat bangga, saya tahu kawan anda, keluarga anda pun rasa bangga juga. Dan, kalau saya ada satu benda yang saya patut sampaikan, satu perkataan yang saya patut sampaikan kepada anda, ia adalah, terima kasih.

“Terima kasih kerana memberi persembahan macam itu sepanjang kempen Sea Games. Terima kasih kerana setiap game beri 100 peratus untuk negara kita. Itu adalah satu kebanggaan dan satu pencapaian,” katanya.

Leave a comment

Website Built with WordPress.com.

Up ↑