Category Archives: Agama

Akhlak & motivasi daripada tragedi kebakaran pusat tahfiz

TRAGEDI kebakaran pada awal pagi khamis 14 september 2017 yang mengorbankan lebih 20 orang anak-anak yang sedang berjihad menghafaz Kalam Allah tentu sahaja meruntun hati setiap insan. Namun, perginya mereka ke rahmatullah sebagai syuhada akhirat akibat kebakaran sebagaimana sabit dalam Hadis riwayat Ibnu Majah dan Abu Dawud, yang diberikan kemuliaan oleh Allah menjadi pengubat hati kepada waris kaum keluarga yang terlibat.

Kita wajar mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa atas musibah ini. Kata-kata dan tindakan yang membenihkan kesabaran di hati mereka adalah sebahagian daripada skop takziah buat mereka sebagaimana pengajaran Islam.

Tidak perlu dikesali musibah yang telah berlaku dengan pelbagai andaian berunsur “kalau” kerana ia membuka pintu bisikan jahat Syaitan yang bertujuan menambahkan kesedihan. Nabi SAW bersabda:

ْ وَإِنْ أَصَابَكَ شَيْءٌ فَلَا تَقُلْ لَوْ أَنِّي فَعَلْتُ كَانَ كَذَا وَكَذَا وَلَكِنْ قُلْ قَدَرُ اللَّهِ وَمَا شَاءَ فَعَلَ فَإِنَّ لَوْ تَفْتَحُ عَمَلَ الشَّيْطَانِ

“Dan sekiranya kamu ditimpa sesuatu musibah maka janganlah menyebut: ‘kalau saya sebelum ini lakukan demikian tentulah demikian demikian’, tetapi sebutlah: ‘Allah telah menentukan. Apa yang Dia mahu Dia lakukan’, kerana sesungguhnya ungkapan ‘kalau’ itu membuka tindakan Syaitan.” Hadis riwayat Muslim.

Pada masa yang sama hati dan perasaan kita juga bersama pengasas dan guru-guru pusat Tahfiz tersebut. Mereka telah berjihad dengan masa, tenaga dan harta mereka belasan tahun untuk menyediakan pusat ilmu untuk anak-anak Islam. Dalam tempoh itu mereka telah berjaya melahirkan puluhan para Huffaz yang menjadi kebanggaan masyarakat.

Kejayaan mereka ini sewajarnya dititipkan dengan pujian dan kata semangat. Namun, dalam kerangka kejayaan itu ada ujian yang mendatang. Mereka diuji dengan musibah yang meruntun dan merungsingkan hati dan perasaan mereka. Tentu sahaja ia boleh mematahkan semangat jihad pendidikan mereka. Maka di saat inilah mereka memerlukan motivasi yang berterusan memberikan sinar harapan. Malah, jika ada sebarang kelemahan yang menjadi sebab memungkinkan berlakunya musibah ia boleh dijadikan motivasi pengajaran untuk mendatang.

Bagi pihak berkuasa pula, musibah ini sewajarnya menjadi pemangkin untuk mereka terus melipat-gandakan usaha membantu pusat Tahfiz dan pusat-pusat pengajian Islam dengan dana pembangunan dan nasihat serta panduan keselamatan yang berterusan. Tidak wajar musibah ini diiringi dengan ugutan terhadap pengusaha-pengusaha institusi Tahfiz yang lain yang sedang berjihad di alam pendidikan dengan seribu macam kepayahan. Ia bukan premis untuk mengancam dan mengecam tetapi medan untuk saling membantu dan bekerjasama untuk kebaikan.

Inilah juga masanya bagi masyarakat awam memperkukuhkan dokongan terhadap institusi pendidikan agama seumpama Tahfiz ini. Sangkaan baik kita terhadap mereka ialah mereka berjihad di bidang pendidikan demi Allah dan Rasul dan demi mencari syurga di alam abadi. Membuat andaian dengan sangkaan buruk terhadap guru-guru dan pengurus pusat ilmu ini bukan akhlak umat beriman.

Membuat tuduhan melulu dengan andaian penyelewengan dana yang mungkin berlaku di kalangan guru-guru yang berjihad mengusahakan pusat ilmu ini adalah akhlak yang sangat jelek, apatah lagi jika datang dari mereka yang dianggap ilmuwan. Kemungkinan dan kebarangkalian baik dan jahat boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, pada jawatan dan amanah apa sekalipun. Tragedi ini bukannya lesen untuk membenihkan persepsi negatif dan jahat meskipun secalit.

Marilah kita bersama menjadikan tragedi ini sebagai rahmah buat ummah di sebalik musibah. Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 155-156:

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

“Dan pasti Kami menguji kamu dengan sesuatu berupa kebimbangan, kelaparan dan kekurangan sebahagian harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. Iaitu mereka yang apabila ditimpa musibah mereka menyatakan: sesungguhnya kita milik Allah dan kita kepada-Nya pasti kembali.” HARAKAHDAILY 16/9/2017

Advertisements

Nikmat Islam lengkapi kehidupan

Manusia diciptakan untuk beribadah kepada Allah SWT. Kewarasan akal sewajarnya memandu manusia mengurus kehidupan bersama kurniaan lain yang diberikan. Bersama Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dalam slot Mau’izati di IKIMfm untuk mengetahui bagaimana mensyukuri nikmat yang diberi kepada manusia.

Manusia diciptakan untuk beribadah kepada Allah SWT. Kewarasan akal sewajarnya memandu manusia menguruskan kehidupan bersama kurniaan lain yang diberikan.

Nikmat yang sewajarnya disyukuri ialah diberi keistimewaan oleh Allah SWT menjalani kehidupan di dunia, malah disediakan segala kelengkapan sama ada di langit mahupun di bumi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal yang belayar di laut dengan membawa benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari pelbagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaan-Nya, kebijaksanaan-Nya, dan keluasan rahmat-Nya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.” (Surah al-Baqarah, ayat 164)

Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dalam slot Mau’izati di IKIMfm menjelaskan, Rasulullah SAW memberi ingatan kepada manusia sejak mereka berada dalam kandungan ibu sudah ditulis oleh Allah SWT mengenai rezeki, ajal, jodoh, perjalanan hidup di dunia serta qada dan qadar mereka.

Sudah tentunya ada yang mempersoalkan tujuan diciptakan oleh Allah SWT di dunia ini dan nikmat Islam menjadi jawapan kepada setiap persoalan yang timbul. Manusia turut dikurniakan akal dan pancaindera yang menjadi sumber kebijaksanaan untuk menguruskan kehidupan.

Malah, setiap manusia dilahirkan beriman kepada Allah SWT sehinggalah mereka dicorakkan oleh ibu bapa masing-masing sama ada menjadi penganut agama Yahudi, Kristian dan sebagainya.

Waras mengurus diri

Asal penciptaan manusia untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Akal dikurniakan untuk kewarasan menguruskan kehidupan dan begitulah larangan meminum arak atau mengambil sesuatu yang memabukkan.

Akal juga menjadi sumber untuk beroleh nikmat hidayah dan agama yang akan mendorong mereka mentaati Allah SWT. Kewarasan akal menjadi sumber kecerdikan manusia mencari nikmat iman dan Islam yang menemukan mereka dengan al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.

Adalah menjadi kerugian besar kepada umat manusia apabila gagal menjadi hamba Allah SWT. Apabila perintah Allah SWT diabaikan, bererti manusia melanggar syariat agama dan peraturan telah disusun, menyebabkan pelbagai ujian dan tekanan diturunkan kepada mereka.

Sewajarnya manusia yang hidup di dunia perlu bermatlamat untuk menghuni syurga pada hari akhirat kelak, oleh itu, elakkan diri daripada mensia-siakan masa yang diberikan. Kehidupan manusia bukan sahaja di dunia, tetapi juga di alam barzakh.

Kehidupan manusia diteruskan di Padang Mahsyar dan keadaan di sana nanti ditentukan oleh cara hidup dan amalan ketika hidup di dunia. Seterusnya, manusia akan menempuh kehidupan di akhirat yang kekal, sama ada menjadi penghuni syurga atau neraka.

Jangan kufur nikmat

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutuskan sebelummu (wahai Muhammad) rasul kepada kaum masing-masing, lalu mereka membawa kepada kaumnya keterangan yang jelas nyata; kemudian Kami menyeksa orang yang berlaku salah (mengingkarinya); dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang yang beriman.” (Surah ar-Rum, ayat 47)

Manusia harus memilih untuk menjadi orang Mukmin, bukan mereka yang mengkufuri nikmat kurniaan Allah SWT kerana hanya agama Islam diredai sebagai cara hidup di dunia dan diterima di sisi Allah SWT.

Apabila beriman kepada Allah SWT, manusia perlu mengetahui ganjaran yang akan diperoleh kelak. Jangan terperangkap dengan tipu daya dunia yang berakhir dengan balasan seksaan di neraka.

Jangan lupa peringatan Allah SWT supaya menjalani kehidupan dalam qanaah, berpada-pada kerana manusia yang mengejar harta hanya akan memusnahkan diri sendiri. Ambil iktibar bencana yang menimpa Qarun.

Sentiasa minta ampun

Qarun memerlukan lebih 400 ekor kuda untuk membawa anak kunci kepada gedung harta kekayaan yang dimilikinya. Bagaimanapun, Qarun ditenggelamkan Allah SWT ke dalam muka bumi sedalam 70 hasta setiap kali terbitnya matahari kerana keangkuhan dan sikap tamaknya.

Gunakan kekayaan untuk mendapat keberkatan hidup. Adalah sesuatu yang merugikan apabila beroleh kekayaan melimpah ruah tetapi jauh daripada keberkatan Allah SWT. Keberkatan membolehkan yang sedikit dirasakan banyak, yang sempit dirasakan luas.

Dalam hidup ini, manusia harus mengejar keampunan daripada dosa dilakukan setiap masa.

Carilah ilmu sebanyak mungkin daripada al-Quran dan hadis Rasulullah SAW kerana semakin banyak ilmu yang diperoleh, semakin dekat kedudukan seseorang di sisi Allah SWT.

Tanamkan keikhlasan beragama dan jangan mensyirikkan Allah SWT walaupun sesukar mana. Berusahalah mendapatkan reda Allah SWT untuk melengkapkan dan melayakkan diri beroleh ganjaran syurga.

Penulis adalah Pengurus Hubungan Strategik IKIMfm

Sumber

Bharian.com.my

Kelebihan Zikir Kalimah Laailahaillallah

Salah satu jalan untuk mengingati Allah SWT ialah dengan berzikir, oleh kerana itulah umat Islam digalakkan memperbanyakkan berzikir kepada Allah SWT jika mahu hampir kepada-Nya. Zikir adalah amalan yang sangat mulia dan sangat dituntut serta disukai oleh Allah SWT dan Rasul-Nya. Ianya merupakan rangkaian iman yang harus disempurnakan oleh semua umat Islam dalam keadaan khusyuk dan tawaduk.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan sebutlah (nama) serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (untuk melanggar perintah-Nya) dan dengan tidak pula mengeraskan (menyaringkan) suara pada waktu pagi dan petang. Dan janganlah kamu termasuk (menjadi) dari orang-orang yang lalai.” (Surah al-’Araaf (7), ayat 205)

Zikir ialah menyebut dan mengingat Allah seperti membaca tasbih ‘Subhanallah’ bertakbir ‘Allahuakbar’, membaca hauqalah ‘Lahaula wala Quwata Illa Billah’, membaca hasballah ‘Hasbiallah’, membaca basmallah ‘Bismillahir Rahmanir Rahim’, membaca al-Quran al-Karim dan membaca doa-doa yang mahsyur iaitu doa yang diterima daripada Rasulullah SAW.

Dari Jabir bin Abdillah ia berkata : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Zikir yang paling mulia ialah Lailahaillallah dan doa yang paling baik ialah Alhamdulillah.” (Riwayat Al-Imam Ibnu Majah).

Ketahuilah wahai kaum Muslimin bahawa amalan berzikir itu sangat banyak fadilatnya. Antaranya ia boleh menjauhkan diri kita dari bersikap lalai dan lupa kepada Allah SWT, boleh meluruskan fikiran dan hati untuk terus mematuhi perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya, memberi ketenangan batin atau ketenteraman jiwa yakni sakinah.

Zikir juga boleh menyebabkan pengamalan mendapat keampunan dari Allah SWT sebagaimana firman-Nya yang bermaksud,

“Sesungguhnya laki-laki dan perempuan yang muslim, laki-laki dan perempuan yang mukmin, laki-laki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, laki-laki dan perempuan yang benar, laki-laki dan perempuan yang sabar, laki-laki dan perempuan yang khusyuk, laki-laki dan perempuan yang bersedekah, laki-laki dan perempuan yang berpuasa, laki-laki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, laki-laki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar.” (Surah al-Ahzab (33) ayat 35)

Di samping itu, zikir ‘Lailahaillallah’ mempunyai banyak fadhilat dan kelebihan, antaranya ialah:-

Pertama : Pengamal akan mendapat syafaat dari Rasulullah SAW.

Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Dari Abu Hurairah r.a. berkata : Telah bersabda Rasulullah SAW : Yang akan mencapai kebahagiaan dan keuntungan melalui syafaatku ialah orang yang mengucap kalimah Lailahaillallah dengan hati yang ikhlas.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Kedua : Mendapat jaminan masuk Syurga.

Dari Zaid bin Arqam Radiallahuanhu meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Barangsiapa yang mengucapkan ‘Lailahaillallah’ dengan ikhlas, dia akan dimasukkan ke dalam syurga.” Lalu ditanya kepada baginda SAW, “Bagaimanakah yang dimaksudkan dengan ikhlas itu?” Rasulullah SAW bersabda, “Ikhlas itu ialah yang mencegah dari melakukan perbuatan-perbuatan yang haram.” (Hadis riwayat at-Tabarani)

Ketiga : Tidak akan dimasukkan ke dalam api Neraka.

Dari Umar r.a. meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Aku mengetahui satu kalimah yang tidaklah seorang hamba pun yang mengucapkannya dan membenarkannya dengan hati kemudian ia mati dengannya melainkan haramlah ke atasnya Neraka Jahanam. Kalimah itu ‘Lailahaillallah.’” (Hadis riwayat al-Hakim)

Keempat : Amalan zikir tersebut mendapat timbangan yang lebih berat dari amalan-amalan yang lain.

Dari Abi Abas r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Demi yang diriku di tangan-Nya, jika sekiranya segala langit dan bumi dan siapa yang ada padanya dan apa-apa yang ada di antaranya dan apa-apa yang ada di bawahnya diletakkan di sebelah dacing dan kalimah ‘Lailahaillallah’ di sebelah yang lain, maka dacing kalimah ‘Lailahaillallah’ itulah yang lebih berat.” (Hadis riwayat at-Tabarani)

Kelima : Merupakan anak kunci Syurga.

Muaaz bin Jabal Radiallahuanhu meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Anak-anak kunci syurga ialah mengakui kalimah ‘Lailahaillallah’.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Keenam : Kalam Terakhir Sebelum Meninggal Dunia.

Mengucapkan kalimat syahadat saat akan meninggal dunia.

Dalilnya adalah hadis riwayat al Hakim dan selainnya, bahwasannya Rasullullah Shallallahu ‘Alaihi Wa sallam bersabda :

مَنْ كَانَ آخِرُ كـلاَمـِهِ : لاَ إِ لَهَ إِ لاَ اللهُ دَخـَلَ الجـَــنَّةَ.

“Barangsiapa yang akhir ucapannya لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ , maka ia masuk syurga”

Kenapa orang Islam sangat kejam dan ganas bunuh binatang ketika raya korban? Soalan maut paderi ini dijawab dengan tenang oleh seorang pemuda Islam sehingga mengejutkan paderi yang lain.

Kisah persoalan ini berlaku di Amerika Syarikat, seorang paderi sengaja ini mempermainkan pemuda islam dengan soalan maut. tapi dengan tenang pemuda itu menjawab sehingga paderi itu terdiam.

1) Nama Nabi Isa as disebut 25 kali dalam Al-Quran, tetapi berapa kali nama Nabi Muhammad saw disebut dalam Al-Quran?

Nama Nabi Muhammad saw hanya disebut 5 kali sahaja di dalam Al-Quran. Manakala nama Nabi Isa as disebut 25 kali. Mengapa? Kerana Al-Quran diwahyukan pada Nabi Muhammad saw, sebab itu nama Nabi Muhammad saw jarang disebut. Al-Quran diturunkan bukan semata-mata untuk memaparkan kisah Nabi Muhammad saw tapi adalah sebagai panduan perjalanan hidup umat Islam.

2) Nama Nabi Isa lebih banyak disebut daripada nama Nabi Muhammad saw dalam Al-Quran. Tentu sahaja Nabi Isa lebih hebatkan?

Dalam Bible, nama syaitan lebih banyak daripada nama Nabi Isa. Jadi, adakah syaitan lebih hebat daripada Nabi Isa? Sebenarnya Allah tidak bezakan tentang kehebatan Nabi dan RasulNya. Walaubagaimanapun, Allah lebih Maha Mengetahui.

3) Dalam Islam percaya yang Nabi Isa as diangkat ke langit, sedangkan Nabi Muhammad saw wafat. Jadi, bila Nabi Isa as dibawa ke langit, tentu sahaja Nabi Isa itu Tuhan kan?

Dalam banyak-banyak kaum, hanya kaum Nasrani sahaja yang telah salah anggap tentang nabi yang diutuskan kepadanya sebagai Tuhan (Nabi Isa). Sedangkan, dalam Bible juga ada menyatakan bahawa Jesus (Nabi Isa) berkata Siapa yang taat pada Allah akan masuk Syurga, siapa yang menganggap Jesus sebagai tuhan akan masuk neraka. (Kitab Injil yang menjadi rujukan pengganut Kristian sekarang ini sebenarnya telah dimanipulasi isi kandungannya)

4) Dalam Islam, Nabi Muhammad saw adalah Nabi terakhir. Tapi, di akhir zaman nanti Nabi Isa as akan turun. Kenapa tidak dikatakan Nabi Isa as yang terakhir?

Nabi Muhammad saw adalah nabi terakhir berdasarkan tahun kelahirannya. Contohnya, jika anak bongsu meninggal dunia, sedangkan anak sulung masih hidup, anak sulung tetap kekal pangkatnya sebagai yang sulung.

5) Nabi Isa as disembah sebagai anak Tuhan kerana dianggap mulia sebab lahir tanpa bapa.

Antara ibu dan anak, mana yang lagi mulia? Tentu ibu kan? Jadi, kenapa orang Kristian tidak menyembah Mariam saja? Bukankah Mariam itu ibu, tentu lagi mulia. Nabi Adam merupakan manusia pertama juga lahir tanpa bapa, malah tanpa ibu juga. Jadi, kenapa tidak disembah Adam saja?

Firman Allah swt : Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: Jadilah engkau! maka menjadilah ia. -Surah Al-Imran, ayat-59.

6) Jika membaca tafsir, Allah berfirman sekejap guna Aku, sekejap guna Kami.
Kenapa? Bukankah maksud Kami itu mewakili Tuhan + Mariam + Anak Tuhan (Isa)?

Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab. Aku kata jamaknya Kami yang menggambarkan tentang Allah dan keagunganNya . Bukankah Queen Elizebeth ketika bertitah, beliau guna We bukan I?

7) Orang Sikh Punjabi bertanya, kenapa Islam perlu potong rambut? Bukankah rambut itu anugerah tuhan yang perlu disimpan?

Kita jawab dengan soalan ini, kuku juga anugerah tuhan, kenapa orang Sikh Punjabi potong kuku?

8) Sami Buddha vegetarian bertanya, kenapa Islam disuruh membunuh binatang untuk dimakan? Bukankah itu zalim kerana membunuh hidupan bernyawa?

Sains telah membuktikan bahawa sayur dan pokok turut mempunyai nyawa. Malah, apabila kita basuh tangan pun, ada banyak nyawa kuman yang kita bunuh. Itu tidak kejam? Apabila kita membunuh (sembelih) seekor lembu, sebenarnya kita telah menyelamatkan banyak nyawa manusia daripada mati kelaparan.

9) Sami Buddha menjawab Bunuh sayur dosa kecil sebab sayur kurang deria. Bunuh binatang dosa besar

Habis tu, adakah kita cuma berdosa kecil jika membunuh orang yang pekak, buta, dan bisu hanya kerana dia tidak ada deria?

10) Sami Buddha menjawab lagi Jika kita bunuh sayur, sayur akan tumbuh balik

Jadi, makanlah ekor cicak kerana ekor cicak akan tumbuh semula selepas putus.

11) Sami Buddha berkata lagi, Makan binatang akan dapat banyak penyakit

Sebenarnya, penyakit datang kerana kita banyak makan. Bukan kerana makan binatang. Allah suruh makan secara sederhana. Nabi juga suruh berhenti makan sebelum kenyang. Lagipun, Allah dah beri gigi taring dan gigi kacip untuk manusia makan binatang dan sayuran. Bukankah tembakau dan ganja itu juga berasal dari tumbuhan? Lagi besar penyakitnya. Lembu yang ragut rumput hari-hari pun boleh jadi lembu gila. Sebenarnya, tak kesah pun kalau kita tak nak makan daging, tapi jangan lah cakap haram apa yang telah Allah halalkan.

12) Kan babi itu ciptaan Allah, kenapa Islam tak makan babi?

Sebab bukan semua ciptaan Allah adalah untuk dimakan. Jika begitu, batu dan kayu juga ciptaan Allah. Manusia juga ciptaan Allah. Nak jadi kanibal?

13) Islam cakap Hindu sembah berhala tetapi Islam hari-hari sembah Kaabah.

Islam bukan sembah Kaabah. Tapi Kaabah itu adalah Kiblat untuk satukan umat. Dalam Islam dah sebut, siapa sembah Kaabah akan masuk neraka kerana Islam sembah Allah, kaabah cuma kiblat. Ada bezanya. Bukti, orang yg sembah berhala tidak akan pijak berhala, tapi orang Islam pijak Kaabah untuk melaungkan azan. Orang Hindu tak akan pijak gambar berhala tapi orang Islam hari-hari pijak gambar Kaabah di sejadah. Jika ada sepanduk gambar Kaabah direntangkan di KLCC sekalipun, orang Islam tetap solat menghadap Kaabah di Mekah kerana itu kiblat kita untuk sembah Allah. Bukan sembah Kaabah!

14) Kenapa perlu ikut Nabi Muhammad saw? Nabi dan Rasul sebelum baginda itu sesatkah?

Nabi sebelum Nabi Muhammad saw diutus untuk kaum dan zaman tertentu sahaja. Sedangkan Nabi Muhammad saw diutus untuk semua kaum dan sepanjang zaman.

15) Apa bukti Allah wujud? Mana Allah? Tak nampak pun.

(Tampar beliau!) Kemudian cakap, sakit itu wujud dan boleh dirasa, tapi adakah kita nampak sakit itu? Begitu juga dengan kewujudan Allah. Allah itu wujud dan kita boleh rasa nikmat pemberian-Nya, tapi kita tak boleh nampak Allah.

HARAM Umat Islam Bekerja di 7 ELEVEN

7-Eleven merupakan sebuah kedai yang paling terkenal di dunia dan juga kedai runcit paling banyak dimuka bumi ini. 7-Eleven juga dipanggil 7-E merupakan francais dari Texas, Amerika Syarikat.

Sejarah penubuhan 7-Eleven ini bermula apabila Joe. E Thompson menjual susu, telur dan roti di Texas pada tahun 1927 . Pada mulanya, ia beroperasi pada jam 7 pagi hingga 11 malam dan disebabkan itulah namanya dipanggil 7-Eleven .

Pada tahun 1946, bermulalah secara rasminya kedai tersebut dikenali sebagai 7-Eleven. Kedai ini berkembang dengan maju apabila pada tahun 1952 ia telah membuka cawangan kedainya yang ke-100. Ia telah dikorporatkan sebagai Southland Corporation pada tahun 1961.

Setahun selepas diperbadankan, 7-Eleven telah mencuba formulasi dimana membuka kedai 24 jam di Austin, Texas dan pada tahun 1963, kedai 24 jam dibuka di Las Vegas, Fort worth dan Dallas.

Pada tahun 1980, syarikat ini mengalami masalah kewangan yang mana telah menjual syarikat pembungkusan ais dan diselamatkan dari muflis oleh Ito-Yokado. Syarikat Jepun menguasai sepenuhnya 7-Eleven pada awal tahun 90-an yang mana membuat pembaharuan dimana membuka lebih 1000 francaisnya di Amerika Syarikat.

Salah sebuah produk yang sehingga kini 7-Eleven masih punyai dan amat popular adalah Slurpee yang telah membawa keuntungan berjuta dolar kepada 7-Eleven. Kajian mendapati Slurpee telah dijual sebanyak 188,883 gelas atau cawan di Kanada.

Jika dilihat di Malaysia, 7-Eleven mempunyai nilai komersialnya sendiri yang mana telah memberikan suatu perspektif baik kepada masyarakat tentang 7-Eleven. Ia juga menjadi pilihan ramai orang untuk membeli barangan seperti snek, rokok, minuman dan sebagainya kerana pilihannya yang banyak.

Ia juga menjadi tumpuan orang ramai yang mana ingin membeli barangan keperluan pada lewat malam tatkala kedai-kedai serbaneka yang lain sudah pun tutup. Mungkin ia salah sebuah tarikan apabila membuka kedainya 24 jam sehari.

7-Eleven juga menjadi sasaran rompakan dan jika diperhatikan, sudah banyak kali rompakan dilakukan di premis terutamanya pada waktu lewat pagi dimana tiada pelanggan di dalam kedai ini. Justeru ia membuka peluang kepada penjenayah untuk menyamun kedai ini dengan begitu senang kerana pintu sudah terbuka.

Sesuatu perkara yang kita tidak sedar tentang 7-Eleven adalah premis ini menjual minuman keras ataupun arak. Arak merupakan sejenis minuman yang mengandungi alkohol yang mana boleh memabukkan peminum.

Dalam agama Islam, meminum arak merupakan salah satu dari dosa besar kerana ia boleh membawa mudarat. Mudarat bermaksud keburukan dimana membuatkan peminum mabuk dan berkhayal sekaligus diklasifikasikan sebagai berada di dalam keadaan tidak waras.

Bila peminum berada dalam keadaan tidak waras, maka ia akan menjuruskan kepada keburukan dimana peminum akan melakukan perkara-perkara yang tidak akan dilakukan oleh peminum jika berada dalam keadaan waras.

Contohnya berkelakuan tidak sopan walaupun peminum tidak akan melakukan jika berada dalam keadaan waras. Memandu ketika mabuk juga boleh mengakibatkan kemalangan sekaligus akan dapat mengancam nyawa orang lain. Seorang Islam yang mabuk juga akan mengalami kesukaran untuk bersembahyang kerana kemungkinan tersilap membaca ayat dalam sembahyang.

Maka, Allah telah menurunkan ayat 90 dan 91 dalam Surah An-Nisa yang berbunyi ;

90. Hai orang-orang beriman, Sesungguhnya ( meminum ) khamar, berjudi, ( berkorban untuk ) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk dalam perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan.

91. Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran ( meminum ) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan sembahyang; maka berhentilah kamu ( dari mengerjakan pekerjaan itu ).

Ringkas dan padat itulah yang penulis kata terhadap ayat al-Quran diatas ini dimana menghalang manusia untuk meminum arak. Ini kerana ia termasuk dalam perbuatan syaitan dan tidak memperoleh kebaikan.

Arak juga akan membawa kepada permusuhan dan kebencian di antara masyarakat seperti yang kita selalu lihat dimana orang bergaduh di night club dan kadang kala hingga menyebabkan kematian. Perkara-perkara seperti ini sudah pastinya dibuat dalam keadaan tidak waras akibat mabuk minum arak.

Oleh itu, terang-terangan Allah telah mengharamkan umatnya meminum arak kerana ia jelas sekali akan membawa kepada keburukan. Apa sangkut paut dengan tajuk ” 7-Eleven … Pekerja Melayu Haram Bekerja ”.

Disini terdapat sesuatu hadis yang mana telah melaknat 10 golongan yang terlibat dengan arak. Rasulullah berkata ;

” Diriwayatkan daripada Anas R.A bahawa Rasulullah S.A.W telah melaknat sepuluh golongan yang terlibat dengan arak, orang yang memerah arak, orang yang meminta arak diperah untuknya, orang yang minumnya, orang yang membawanya, orang yang meminta dibawa arak kepadanya, orang yang memberi minum arak kepada orang lain, orang yang menjual arak, orang yang mendapat hasil dari arak, orang yang membeli arak, orang yang meminta dibelikan arak untuknya. ” – Riwayat Ibnu Majah dan Tarmizi

Dalam hadis tersebut ada suatu ayat berbunyi ” orang yang menjual arak ”. Salah sebuah produk yang dijual di 7-Eleven merupakan arak. Dalam hadis berkenaan, tidak dinyatakan jika hanya dijual kepada orang bukan Islam tetapi hanya berkata ” orang yang menjual arak ” sekaligus ia salah mengikut hukum untuk pekerja Melayu berkerja di 7-Eleven.

Kemungkinan kerana ia akan membawa kepada keburukan jika dijual maka Allah telah melarang ia dijual kepada sesiapa pun. Hadis tersebut juga berkata ” orang yang mendapat hasil dari arak ” dimana pekerja 7-Eleven sudah semestinya akan mendapat gaji yang mana diambil dari hasil keuntungan termasuk hasil penjualan arak.

Ketiga mengapa penulis mengatakan pekerja Melayu haram bekerja kerana sudah semestinya pekerja di 7-Eleven tersebut akan membawa karton-karton yang berisi minuman keras ke dalam peti ais . Di dalam hadis tersebut juga Rasulullah juga berkata ” orang yang membawanya ” . ” -nya ” dalam konteks itu merujuk kepada arak yang mana Rasulullah telah melaknat mereka yang membawa arak.

Maka kesimpulan yang boleh penulis katakan adalah janganlah umat Islam untuk terlibat dalam apa-apa perkara sekalipun yang bersangkut paut dengan arak kerana sesungguhnya ia amat tidak disukai oleh Rasulullah.

Sumber:

www.islamituindah.com.my