JDT terkandas di AFC Cup

Hasrat penyokong untuk melihat wakil tunggal negara iaitu Johor DT untuk mara lebih jauh dalam saingan AFC Cup 2017 tidak menjadi kenyataan apabila tewas kepada kelab filipina, Ceres Negros melalui jaringan penalti di minit akhir.

Walaupun kedudukan agregat terikat 4-4 tetapi Ceres layak ke final peringkat Zonal Asean bertemu pasukan dari Singapore, Home United melalui peraturan gol di tempat lawan.

Ceres berjaya menjaringkan gol pembukaan melalui jaringan Kota Kawase di minit 26 dan seterusnya menyamakan kedudukan kepada 3-3 dari segi aggregat. Selepas separuh masa kedua bermula, Gabriel Guerra berjaya menyamakan kedudukan di minit 65 sekaligus menyaksikan JDT mendahului dari segi agregat, 4-3.

Perlawanan agak tegang di minit akhir apabila Farizal Marlias dilayangkan kad merah kerana disyaki mengasari pemain lawan selepas pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada Ceres.

Pemain Ceres Negros FC, Rodriguez berjaya memanfaatkan peluang ini untuk membawa Ceres layak ke peringkat final zonal Asean buat kali pertama dalam sejarah bolasepak Filipina. Yang pasti, ini merupakan kekalahan yang paling pahit yang harus ditelan oleh penyokong pasukan Johor DT dan juga peminat bolasepak tanah air. Perjuangan JDT dalam saingan AFC Cup tahun ini sudah berakhir.

Advertisements

Henti hukum Kelantan – Annuar



KOTA BHARU: Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa terus mempersoalkan tindakan Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) yang dilihatnya berterusan menyerang The Red Warriors (TRW). 

Menerusi laman Facebooknya hari ini, Annuar melahirkan kekecewaan dengan situasi yang dialami TRW dan meminta badan swasta yang mengendalikan Liga Malaysia (Liga M) itu tidak melakukan sesuka hati, sebaliknya memberi keadilan sewajarnya. 

Katanya, Kelantan pasukan yang tidak mempunyai suntikan dana daripada pihak kerajaan negeri mahupun pihak istana. “Ya, kita Kelantan pasukan miskin, pasukan kais pagi makan pagi, pasukan yang hanya disokong oleh seorang yang tidak mempunyai pangkat atau kuasa. 

Bukan menteri besar atau istana. “Namun janganlah buat sesuka hati. Kita hanya mahu keadilan dalam bersukan,” katanya. 

Annuar berkata, Kelantan tidak diberi peluang untuk melakukan rundingan atau perbincangan yang sihat supaya pihak terbabit dapat memahami situasi sebenar. Katanya, kesan daripada perkara itu memberikan implikasi kepada jawatan beliau dalam MARA hingga membabitkan tindakan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

 “Bermula dengan pelbagai tuduhan terhadap saya hingga merebak ke MARA dan SPRM, tidak cukup dengan itu, Kelantan dipotong enam mata lagi oleh FMLLP,” katanya. Dalam entri sama, Annuar mempersoalkan adakah menjadi satu kesalahan jika TRW terus diperkuatkan? “Adakah salah kalau Kelantan diperkuatkan lagi? atau kerana Kelantan miskin dan dibolehkan jual segala yang ada tapi tak boleh baiki atau perkuat kembali, dibiarkan terus mati, menghadapi penyingkiran dan tidak mencabar sesiapa lagi? 

“Kita juara bukan kerana kita kaya atau ada kuasa, tetapi kerana usaha dan semangat waja tanpa berputus asa. “Kita tidak mati walau didenda, kita tidak berputus asa walau dihina, kita tidak berpecah walau diadu domba, kita tak mengalah walau dirampas semuanya! Itulah Kelantan, itulah Kelantan kita. Kita muncul lebih perkasa!,” katanya.


Apa jadi dengan Bernhardt?



PADA 31 Mac lalu, terpampang wajah Setiausaha Agung, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, dalam poster terbitan badan induk itu yang memaklumkan bahawa isu pemecatan Frank Bernhardt akan diselesaikan segera.


Sehingga hari ini, iaitu genap 60 hari sejak kenyataan itu ditularkan, pemecatan Bernhardt belum ada noktahnya.

Apabila Bernhardt dipecat oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim beberapa minit selepas beliau mengambil alih teraju selaku presiden FAM pada 25 Mac lalu, jurulatih berbangsa Jerman itu sedang menjalankan tugas dengan skuad projek Sukan SEA di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Sebelum keputusan itu diambil, tiada perbincangan yang dibuat di antara pengurusan tertinggi FAM dan Bernhardt mengenai statusnya.

Sedangkan Bernhardt yang dilantik menerusi satu proses telus dan mengikut prosedur – seperkara yang jarang-jarang berlaku di FAM – mengikat kontrak dengan badan induk itu sehingga Disember ini.

Lazimnya, apabila seorang jurulatih dipecat sedangkan dia masih terikat dengan kontrak, pampasan yang diberikan berjumlah baki kontrak itu ataupun kedua-dua pihak boleh membuat penilaian amaun mengikut persetujuan bersama.

Mengikut prinsip biasa, Bernhardt yang dipercayai menerima gaji RM70,000 sebulan, harus dibayar baki kontrak bernilai hampir RM700,000.

“Urusan saya belum selesai,” kata Bernhardt, ringkas.

“Saya tidak akan teragak-agak membawa kes saya kepada FIFA jika tiada jalan penyelesaian yang dipersetujui bersama,” tegasnya.

Jurulatih berusia 47 tahun itu enggan mengulas lanjut, tetapi difahamkan FAM hanya menawarkan pampasan tiga bulan supaya Bernhardt boleh dikirim pulang.

Bernhardt dilantik oleh FAM selepas jawatankuasa petugas khas dipengerusikan oleh bekas timbalan presiden, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad, merangka proses pelantikan, termasuk menyaring 80 pemohon, mengadakan temuduga menerusi Skype dan satu penyenaraian pendek.

Turut berada dalam kelompok akhir ditemuduga panel pemilihan ialah Nelo Vingada, yang kini dilantik menjadi ketua jurulatih skuad kebangsaan.

Kes Bernhardt tidak berada dalam radar kerana dia tidak menggunakan media sosial meluahkan perasaannya.

Ini berbeza dengan beberapa kes gaji tertunggak atau hutang yang belum selesai membabitkan beberapa pemain import dengan sesetengah ahli gabungan FAM.

Jurulatih luar juga lazimnya tidak dilindungi oleh sesiapa, kecuali klausa-klausa dalam kontrak, atau dia bernaung di bawah individu berpengaruh dalam badan itu.

Bagi jurulatih tempatan pula, mereka mempunyai Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) untuk melindungi kepentingan ahli dan membuat pembelaan jika perlu.

Sebelum penggiat bola sepak move on dan menganyam impian indah bersama Vingada, FAM harus selesaikan segera kes Bernhardt dengan memberi keadilan kepadanya.

‘Mental Game’ Untuk Pemain Johor Darul Ta’zim – Pembantu Jurulatih, Ismail Ibrahim

JDT dengan kelebihan 3-2, akan menghadapi Ceres Negros ditempat lawan malam ini perlu berusaha keras untuk mempertahankan kelebihan yang dimiliki untuk mara ke perlawanan akhir ASEAN Zonal bertemu Home United.

Untuk rekod, Ceres Negros dalam aksi AFC Cup 2017 ini masih belum tewas di gelanggang sendiri, dan telah menjaringkan 11 gol dalam 3 perlawanan dan hanya 2 kali bolos.

Menurut Ismail Ibrahim, beliau menjangkakan perlawanan akan berlangsung sengit kerana ia perlawanan yang penting untuk kedua-dua pasukan.

“Seperti yang anda semua tahu, ini merupakan perlawanan yang sangat penting bagi kedua-dua pasukan.”

“Perlawanan malam ini adalah mengenai ‘mental game’ dan karektor pemain diatas padang.”

“Saya berharap pemain-pemain akan bersiap sedia untuk menghadapi ‘mental game’ ini dan mempamerkan prestasi terbaik mereka diatas padang.”

Selain itu juga, tonggak pertahanan Johor Darul Ta’zim. Marcos Antonio memberitahu, pemain-pemain akan lebih fokus dalam perlawanan ini untuk mengekalkan kelebihan seterusnya layak ke perlawanan akhir ASEAN Zonal.

“Esok merupakan perlawanan yang penting untuk kami. Pemain-pemain akan memberikan yang terbaik untuk layak ke perlawanan akhir dan melakukan tugas kami kepada kelab.”

“Kami telah berjaya mempamerkan aksi terbaik dalam separuh masa kedua di Larkin, dan untuk perlawanan ini kami akan memberikan lebih kosentrasi dan fokus kepada gaya permainan kami sendiri.”

Ketua jurulatih Ceres Negros, Risto Vidakovic menyatakan ini adalah tugas berat bagi pemain-pemainnya kerana bertemu sebuah kelab bola sepak yang besar seperti Johor Darul Ta’zim.

“Saya mahu pemain-pemain memberikan 100% keupayaan mereka untuk menang perlawanan ini. Sukar untuk menjangka keputusan perlawanan ini tetapi apa yang saya mahu lihat dari pemain saya adalah memberikan fokus dan mempamerkan aksi terbaik mereka.”

Dengan Ceres memiliki kelebihan 2 jaringan ditempat lawan, Vidakovic menyatakan tekanan kepada Ceres adalah kurang berbanding Johor Darul Ta’zim, tetapi mereka memiliki kemahuan yang tinggi untuk perlawanan kedua ini.

“Pemain-pemain sangat bermotivasi untuk pertemuan ini dan tidak tertekan. Tugas berat menanti kami dalam perlawanan ini tetapi dalam masa yang sama ia merupakan peluang untuk mencapai sesuatu.”

“Ia merupakan sesuatu yang istimewa jika kami layak ke perlawanan akhir. Ini peluang besar kami. Semua akan melakukan yang terbaik.”

Pemain pertahanan Ceres Negros dari Jepun, Kota Kawase melihat keputusan di Larkin baru-baru ini sebagai sesuatu yang positif.

“Saya yakin perlawanan ditempat sendiri ini amat sukar. Jadi kami perlu bergerak bersama, lawan bersama dan keputusan yang baik akan diperolehi.”

“Semua pemian teruja untuk bermain dalam perlawanan ini.”

Pembayaran BR1M mulai 5 Jun

PUTRAJAYA 31 Mei – Kerajaan bersetuju untuk pembayaran peringkat kedua Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dibuat mulai 5 Jun ini sempena ketibaan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka 25 Jun depan.

JOHARI ABDUL GHANI

JOHARI ABDUL GHANI

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, bagi permohonan rayuan pula, pembayaran kepada penerimanya dijangka akan dibuat pada 17 Jun ini.

“Kerajaan berharap dengan pemberian BR1M ini dapat membantu rakyat membeli barangan keperluan dan persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.

Pembayaran BR1M akan dikreditkan terus ke akaun penerima masing-masing, bagi mereka yang tiada nombor akaun, surat kelulusan akan diposkan terus ke alamat penerima dan seterusnya boleh ditunaikan di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mana-mana pihak yang ingin mendapat maklumat lanjut boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2716 serta email kepada br1m@treasury.gov.my. 

Selatan Negeri Kami