Bekas pemain import JDT akan buka akademi di Italy


Bekas pemain import kelab Johor Darul Ta’zim, Simone Del Nero telah tiba di negeri Johor untuk melawat Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), pasukan yang disertainya pada tahun 2013 bersama bekas pemain skuad kebangsaan Sepanyol, Daniel Guiza.

Beliau begitu teruja melihat kemudahan JDT yang semakin canggih sehingga menitiskan air mata apabila tidak mempercayai bahawa kelab yang disertainya dahulu telah berkembang dengan begitu cepat.

Beliau juga menyifatkan pembangunan terkini di JDT ini jelas berbeza berbanding ketika beliau bermain di sini dahulu di mana hanya ada satu ambulans, satu bilik air dan satu paip sahaja untuk membersihkan diri selepas latihan.

Menurut Simone Del Nero, perkembangan JDT yang pantas ini sedang berada di landasan yang betul untuk dikenali di seluruh dunia. Pemain yang bermain dengan kelab Itali, Massese ketika ini turut mengatakan akan membuka sebuah akademi bola sepak di Carrera, Itali milik beliau dan akan meletakkan logo JDT di akademi tersebut simbolik kepada mengenang jasa JDT yang banyak membantu karier bola sepak beliau.

Secara tidak langsung, sebuah akademi bola sepak yang menggunakan lambang JDT milik Simone Del Nero akan berada di tengah bandar Itali pada masa akan datang.

Advertisements

3 maut dalam 3 kemalangan di Batu Pahat


BATU PAHAT: Tiga penunggang motosikal maut dalam tiga kejadian berasingan, malam tadi dan awal pagi ini. Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa, berkata dalam kejadian pertama pada jam 8.10 malam di Kilometer (KM) 26.5, Jalan Kluang, Nur Amirul Jemail, 20, meninggal dunia selepas motosikal ditunggang bertembung dengan kereta yang keluar dari simpang.

 Katanya, mangsa dalam perjalanan dari Ayer Hitam menghala ke Parit Raya apabila sebuah kereta keluar dari simpang menuju jalan utama. 

“Penunggang motosikal tidak sempat mengelak menyebabkannya bertembung dengan kereta terbabit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. 

Dalam kejadian kedua, Abdul Wahib berkata, Shamsul Azhari Mat Said, 32, yang beralamat di Kampung Tanjung Laboh, dekat sini, maut selepas motosikal ditunggang merempuh sebuah kereta sebelum bertembung sebuah lagi kereta kira-kira jam 9 malam di KM 121.5, Jalan Johor Bahru-Melaka.

 “Motosikal mangsa dari arah Senggarang, dekat sini menghala bandar merempuh sebuah kereta, menyebabkan pemandunya gagal mengawal kenderaan. “Kereta itu kemudian memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah lagi kereta dari arah bertentangan,” katanya. 

Abdul Wahib berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi tadi di KM 126 jalan sama, Ahmad Fauzi Ahmad Sazali, 16, dari Kampung Sri Ladang, Rengit, meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda yang keluar dari simpang menuju ke jalan utama. Katanya, ketiga-tiga kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Lima beradik tumpang kasih nenek


MERSING – Lima daripada lapan beradik yatim piatu kini menumpang kasih nenek selepas pemergian ibu mereka pada November tahun lalu.

Halijah Ismail, 72, berkata, cucunya itu tinggal bersamanya di Mersing Kanan sejak anaknya, Zainon Ali, 50, terlantar sakit tahun lalu.

“Anak saya ada sakit ketumbuhan dalam rahim, lama juga dia sakit dan terpaksa ulang-alik ke hospital.

“Sejak itu lima daripada lapan anaknya tinggal dengan saya. Menantu saya dah lama meninggal, lebih 15 tahun,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, sebelum ini dua cucunya terpaksa bergilir-gilir tidak hadir hadir ke sekolah bagi menjaga ibu mereka yang sakit.

“Kalau Nurul Atiari Awang Jantan, 17, sekolah, Nurul Aida, 15, tak sekolah untuk jaga maknya. Macam itu juga sebaliknya.

“Anak saya seorang lagi, Nirhana (adik Zainon) yang tolong saya masak, kemas rumah bila dah ramai-ramai di rumah ini, tapi dia baru meninggal sakit jantung sebulan lebih,” katanya.

Dengan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima sebanyak RM300 sebulan ditambah wang jualan kuih, Halijah menyara diri dan kesemua cucunya itu.

“Dalam seminggu saya buat kuih dua atau tiga kali untuk dihantar ke warung depan, dapatlah lebih kurang RM30.

“Kalau boleh memang saya nak buat setiap hari tapi badan dah tua, tak mampu. Kadang-kadang sakit, saya tak dapat buat langsung,” katanya.

Halijah berkata, cucunya yang lain sudah bekerja, namun hanya bekerja kampung dengan pendapatan tidak menentu.

“Sempena Syawal ini, saya bersyukur sangat ada seorang peniaga bermurah hati hadiahkan sepasang baju raya kepada setiap cucu-cucu saya.

“Sebelum ini maknya yang beli, tapi tahun ini Alhamdulillah ada peniaga baju raya di bazar raya di bandar yang sudi hadiahkan mereka. Orang kampung pun selalu murah hati hantar makanan dan barangan dapur kepada kami,” katanya.

Kanak-kanak maut, bapa elak babi melintas

MERSING – Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas kenderaan yang dipandu bapanya terlibat kemalangan dengan dua buah lagi kenderaan dekat KM 32 Kota Tinggi-Mersing, di sini, petang semalam.

Mangsa, Muhammad Aqrob Dhuhaa Mohd Faizal, 4 yang beralamat dari Taman Barkat Pontian Besar Kiri maut akibat kecederaan parah.


Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superitendan Cyril Edward Nuing berkata hasil siasatan awal mendapati kenderaan dipandu bapa mangsa, Mohd Faizal Sapari, 40 berpusing beberapa kali selepas cuba mengelak seekor babi yang melintas.

“Kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.30 petang itu melibatkan tiga buah kenderaan dan mangsa sekeluarga dari Pontian dalam perjalanan menuju ke Kampung Tenglu 6.

“Dalam kejadian itu, bapa mangsa telah membrek secara mengejut bagi mengelak daripada melanggar seekor babi yang melintas,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, keadaan itu menyebabkan kenderaan dipandu Mohd Faizal berpusing beberapa kali lalu dilanggar sebuah lagi MPV jenis Toyota Avanza yang datang dari arah bertentangan.

“Kenderaan dinaiki mangsa itu kemudiannya bertembung dengan sebuah lagi kereta yang datang dari belakang Avanza tersebut.

“Kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Dalam kejadian itu, enam lagi mangsa cedera dan sedang menerima rawatan manakala dua lagi dilaporkan cedera ringan.

Johor Bahru paling tinggi tuntutan Perkeso

JOHOR BAHRU – Sebanyak RM27.51 juta faedah dibayar oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) negeri Johor membabitkan 8,806 kes antara Januari hingga April tahun ini termasuk RM14.39 juta bagi faedah Hilang Upaya Kekal (HUK) sebanyak 797 kes.

Pengarah Perkeso negeri, Muhamad Alif Haikal Cheong Abdullah berkata, sebanyak RM8.96 juta turut dibayar bagi faedah Hilang Upaya Sementara (HUS) yang membabitkan 6,304 kes di seluruh negeri.

“Perkeso juga turut membuat pembayaran sebanyak RM1.13 juta bagi faedah pengurusan mayat yang melibatkan 827 kes.

“Selebihnya adalah bagi pembayaran faedah Pencet Ilat kira-kira RM384,000, Pencen Penakat RM2.5 juta dan Pencen Faedah Orang Tanggungan sebanyak RM146,000,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, secara keseluruhannya daerah Johor Bahru menerima pembayaran faedah paling banyak berjumlah kira-kira RM16.24 juta faedah membabitkan 4,9813 kes.

“Bagi daerah Johor Bahru pembayaran faedah paling tinggi adalah kes HUK iaitu sebanyak RM8.98 juta dengan 478 kes.

“Manakala sejumlah RM3.77 juta faedah dibayar bagi daerah membabitkan 1,116 kes termasuk 783 kes HUS dan 107 HUK.

“Sementara itu, sejumlah RM3.02 juta faedah dibayar bagi daerah Muar dan RM2.75 juta faedah bagi daerah Kluang dan RM1.71 juta bagi daerah Segamat,” katanya.

Katanya, Perkeso turut menyediakan Faedah Pendidikan iaitu kemudahan yang disediakan dalam bentuk pinjaman atau biasiswa kepada anak tanggungan pencarum yang menerima bayaran faedah berkala atau memenuhi syarat kelayakan ditetapkan.

“Contohnya dalam kes terbaru seorang pekerja kilang yang maut dalam kemalangan mempunyai dua anak yang masih bersekolah.

“Balu dan anaknya menerima pembayaran faedah berkala dan layak memohon faedah pendidikan sekiranya berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Ini bertujuan membantu keluarga atau waris yang berkenaan agar masa depan mereka terjamin,” katanya.