Category Archives: Johor

Empat sekeluarga maut akibat tekanan

JOHOR BAHRU – Pihak polis tidak menolak kemungkinan kematian empat sekeluarga di kediaman mereka di Mutiara Rini, dekat sini Jumaat lalu berkaitan masalah kewangan dan penyakit yang dihidapi isteri dalam keluarga itu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, pihaknya masih menunggu laporan penuh bagi melengkapkan siasatan kes itu dan mengesahkan punca kejadian sebenar.

“Setakat ini kita dapati tiada unsur jenayah dalam kes ini selepas pemeriksaan dan siasatan dilakukan di tempat kejadian.

“Terdapat dua isu dalam kes ini iaitu kemungkinan disebabkan tekanan wang dan isteri yang tidak sihat. Bagaimanapun kita masih menunggu laporan lengkap untuk menyokong andaian ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Johor sempena Kejohanan Bola Sepak Piala Ketua Polis Negara 2017, di Ibu Pejabat Kontinjen Johor di sini, pagi tadi.

Jumaat lalu, sepasang suami isteri dan dua anak mereka ditemui mati dalam sebuah rumah dua tingkat di Rini Residence, Mutiara Rini pada kira-kira jam 2.30 petang selepas disedari rakan si suami yang datang ke rumah.

R Pubalan, 53, ditemui mati tergantung dalam bilik di tingkat atas manakala isterinya, P Jeya, 46 ditemui mati di atas katil di berhampiran ruang tamu di tingkat bawah.

Sementara kedua-dua anak mereka P Sharveen, 14, dan P Krishna, 9, ditemui kmati dalam sebuah bilik lain di tingkat atas dengan kesan jerutan pada leher.

Advertisements

Kerajaan sokong empat inisiatif baharu Johor

ISKANDAR PUTERI – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abd Razak mengesahkan empat inisiatif baharu untuk negeri Johor, mendapat sokongan sepenuhnya kerajaan pusat.

Kesemua inisiatif itu adalah pelancaran sistem Bas Rapid Transit (BRT), Pelan Induk Kemahiran Johor, Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Dasar Kelestarian Johor.

Najib berkata, sistem BRT merupakan sistem transit berasaskan bas yang berkualiti tinggi yang akan memberikan perkhidmatan yang dipercayai, selesa dan mampu digunakan oleh rakyat.

Menurutnya, kos pelaksanaan BRT berjumlah kira-kira RM2.56 bilion akan dibiayai menerusi kerajaan pusat sebanyak RM1 bilion manakala selebihnya menerusi kerjasama swasta dan awam atau Private-Public Partnership (PPP).

“Kita semua sudah maklum bahawa dalam masa satu dekad sahaja Iskandar Malaysia telah mempamerkan pembangunan serta kemajuan yang amat pesat.

“Dengan berkonsepkan keterangkuman, kerajaan pusat melalui Irda serta kerajaan negeri Johor akan membangunkan sistem BRT sebagai teras kepada infrastruktur pengangkutan awam di wilayah Iskandar Malaysia untuk dua dekad akan datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Ekspo Johor Berkemajuan 2017 di Kota Iskandar di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ir Wee Ka Siong.

Beliau berkata, BRT mengandungi ciri-ciri yang serupa dengan transit aliran ringan, sekali gus menjadikan sistem itu lebih cepat berbanding dengan perkhidmatan bas biasa.

Katanya, sistem itu dijangka beroperasi pada tahun 2021 yang akan menghubungi 90 peratus kawasan Iskandar Malaysia dengan laluan sepanjang 51 kilometer, menerusi 39 stesen dan pusat-pusat seperti mana disebutkan Menteri Besar sebentar tadi.

“Pembangunan sistem BRT ini akan mempunyai sambungan atau link yang lancar ke sistem transit keretapi RTS, High Speed Rail, KTM komuter serta terminal bas antarabangsa dengan jangkan pertambahan penduduk dan pertumbuhan ekonomi, sekali gus meningkatkan peluang pekerjaan.

“Saya yakin BRT bakal menjadi pemangkin untuk memacu Iskandar Malaysia ke tahap lebih berdaya saing lagi,” katanya.

Mengulas mengenai inisiatif Pelan Induk Kemahiran Johor, beliau berkata, ia merupakan langkah untuk menyediakan pekerja berkemahiran tinggi bagi menampung keperluan pada masa depan.

Menurutnya, pelan itu menyentuh lima elemen teras iaitu struktur dan dasar tadbir urus yang kukuh, memupuk minat dan bakat, penyelarasan dan fasilitasi pembiayaan, kualiti dan penyampaian TVET serta penyediaan kemudahan yang inklusif dan menyeluruh.

“Sebab itulah kemahiran berteraskan bidang latihan teknikal dan pendidikan vokasional (TVET) perlu dilakukan secara besar-besaran. Pelan induk ini sejajar dengan pelancaran program TVET Malaysia di peringkat kebangsaan yang telah dilakukan pada 27 September yang lalu.

“Saya yakin pelan TVET ini bila dilaksanakan dengan lancar nanti akan memenuhi keperluan tenaga kerja mahir yang tinggi yang diperlukan. Sebab salah satu daripada pertanyaan yang lazim dibuat oleh bakal pelabur adalah sama ada sesuatu kawasan itu mempunyai pekerja mahir berkemahiran tinggi atau sebaliknya.

“Jadi kalau kita nak kawasan ini lebih maju penyediaan tenaga kerja yang berkemahiran pada peringkat teknikal yang lebih tinggi perlulah disediakan secara komprehensif.

“Saya difahamkan kerja-kerja pembinaan kemudahan TVET moden bernilai RM100 juta di Kulai alan dapat menampung sehingga 20,000 pelatih setahun. Ini adalah satu langkah yang amat-amat tepat sekali,” katanya.

Najib berkata, inisiatif Dasar Kelestarian Johor pula merupakan salah satu daripada tuntutan rakyat termasuklah ketika sesi dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) orang muda.

“Menjaga, memelihara dan melakukan perkara yang boleh membangunkan pembangunan secara lestari adalah sangat-sangat dituntut oleh rakyat.

“Justeru melalui Dasar Kelestarian Johor ini saya percaya ia dapat mencapai keseimbangan antara pembangunan dan alam sekitar yang mampan,” katanya.

Bagi inisiatif terakhir iaitu Program Perumahan Rakyat (PPR), Perdana Menteri mengesahkan bahawa empat projek PPR baru akan dibangunkan di Johor dengan melibatkan pembinaan 1,830 unit rumah dengan kos RM360 juta.

“Projek-projek ini ditambah lagi dengan 500 unit yang saya telah umumkan di Sembrong baru-baru ini ketika kita mengadakan sambutan Hari Raya di Sembrong.

“Ini termasuk PPR Ulu Tiram, PPR Masai, PPR Permas Jaya, PPR Bandar Tenggara dan PPR Sembrong. Projek ini akan dimulakan pada penghujung tahun ini atau awal tahun hadapan dan akan siap pada tahun 2020 nanti insya-ALLAH,” katanya.

Najib berkata, kesemua itu memperlihatkan subsidi kerajaan yang amat besar iaitu lebih RM100,000 setiap unit PPR dapat beri manfaat kepada rakyat.

“Ini semua gambaran kita, komitmen kerajaan kepada negeri Johor khususnya. Jadi tidak lah seharusnya ada kebimbangan, kekhuatiran mana-mana pihak bahawa komitmen ini akan berterusan kerana negeri Johor ini adalah sebuah negeri yang begitu tinggi nilai sejarahnya kepada perjuangan kita pada hari ini.

“Kerana perjuangan untuk membebaskan negara kita bermula dari negeri Johor ini, dari tangga Istana lama negeri Johor wujudnya berputiknya bertatihnya perjuangan kita untuk membebaskan negara kita. Jadi kalau kita lihat dari sudut itu sahaja, kita jangan lupa jasa negeri Johor kepada perjuangan kita masa kini dan akan datang,” katanya.

Selain itu, katanya, dengan wujudnya kerjasama yang amat baik antara kerajaan Johor dan kerajaan persekutuan, masa depan negeri ini adalah sangat terjamin dan akan memasuki era transformasi sehingga Johor akan diiktiraf sebagai The New Economic Powerhouse For Malaysia.

Rakyat Perlu Rebut Peluang

KOTA ISKANDAR– Ekspo Johor Berkemajuan 2017 diadakan tepat pada waktunya dan seluruh rakyat di negeri ini perlu merebut pelbagai peluang yang telah disediakan oleh Kerajaan Negeri.

Menerusi ekspo yang berlangsung sehingga 14 Oktober ini, pelbagai maklumat dan fakta lebih jelas dan terperinci boleh diperolehi terutamanya mengenai pembangunan yang berlaku di negeri Johor dan perancangannya pada masa hadapan.

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, JCorp dan kumpulan anak syarikatnya berasa bangga kerana turut terlibat sama untuk menjayakan ekspo ini dalam Sektor Badan Berkaitan Kerajaan (GLC).

“Menerusi ekspo ini, ia semestinya dapat memberi pelbagai manfaat kepada rakyat Johor khususnya dalam memberi peluang pekerjaan serta peluang perniagaan yang berkaitan.

“Selain itu, kita bukan sahaja dapat membawa pelaburan luar di kawasan-kawasan pembangunan industri yang kita majukan, malah ia turut membuktikan bahawa kita diberi kepercayaan dengan pelbagai potensi yang ada di negeri Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Ekspo Johor Berkemajuan 2017 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, pada Sabtu.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Negeri Johor, Manndzri Nasib berkata, golongan belia khususnya di negeri Johor wajar melibatkan diri dalam ekspo tersebut bagi melihat sendiri segala usaha terhadap pembangunan dan pencapaian yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri.

“Dengan adanya Pelan Induk Pembangunan Kemahiran Johor, jelas menggambarkan bahawa kita dapat memastikan tenaga kerja di negeri ini dilengkapi kemahiran yang tepat.

“Aspirasi kerajaan negeri untuk memacu pembangunan kemahiran yang berteraskan bidang Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) untuk golongan belia di negeri Johor akan diterjemahkan melalui pelan induk berkenaan.

“Pelan Induk TVET Johor adalah suatu ruang dan peluang yang perlu direbut manfaatnya oleh semua golongan belia di negeri Johor,” katanya.

Ekspo Johor Berkemajuan 2017 yang berlangsung selama sembilan hari itu turut akan melancarkan lebih 30 program ikonik yang bakal memberi manfaat kepada rakyat.

Sebahagian Projek pembangunan pengangkutan awam Bas Rapid Transit ditanggung kerajaan pusat

Projek pembangunan pengangkutan awam Bas Rapid Transit (BRT) akan menelan belanja RM2.56 bilion dengan RM1 bilion daripadanya dibiayai kerajaan pusat manakala baki ditanggung menerusi kerjasama swasta dan awam, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Mengumumkan perkara itu Sabtu, Perdana Menteri berkata projek BRT yang berkonsepkan keterangkuman serta kemampanan itu akan dibangunkan kerajaan pusat melalui Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar dan kerajaan negeri Johor.
“BRT sebagai tulang belakang infrastruktur pengangkutan awam di Wilayah Iskandar Malaysia untuk dua dekad yang akan datang.
“BRT adalah sistem transit berasaskan bas yang berkualiti tinggi yang memberikan perkhidmatan yang reliable (boleh diharap), selesa dan cost effective (cekap kos),” katanya semasa berucap merasmikan Ekspo Johor Berkemajuan 2017 di Kota Iskandar, di Iskandar Puteri.
Perdana Menteri berkata beliau difahamkan BRT mempunyai ciri-ciri yang serupa dengan Transit Aliran Ringan atau metro, iaitu lebih cepat berbanding perkhidmatan bas biasa.
Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata BRT dijangka beroperasi pada 2021 meliputi 90 peratus kawasan Iskandar Malaysia dengan laluan sepanjang 51 kilometer dan mempunyai 39 stesen.
“Pembangunan sistem BRT ini akan dipastikan mempunyai sambungan atau link yang lancar ke Sistem Transit Rapid (RTS), Rel Berkelajuan Tinggi, KTM komuter serta terminal bas antara bandar,” kata beliau.
Najib juga yakin BRT akan menjadi pemangkin yang memacu Iskandar Malaysia ke tahap lebih berdaya saing di mata dunia serta setaraf dengan negara maju lain, sekali gus meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan.
BRT merupakan satu daripada empat inisiatif kerajaan negeri yang dilancarkan beliau hari ini dengan tiga lagi ialah Pelan Induk Kemahiran Johor, Program Perumahan Rakyat dan Dasar Kelestarian Negara.
Menyentuh mengenai Pelan Induk Pembangunan Kemahiran Johor, Najib berkata pelan itu akan dapat memastikan tenaga kerja di negeri itu dilengkapi kemahiran yang tepat.
Beliau berkata aspirasi kerajaan negeri untuk memacu pembangunan kemahiran yang berteraskan bidang Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) bagi belia Johor akan diterjemahkan melalui pelan induk berkenaan.
“Saya yakin, Pelan Induk TVET Johor adalah suatu permulaan dan rujukan yang baik untuk Pelan Induk TVET yang lebih komprehensif,” katanya.
Mengenai empat Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang akan dibangunkan di negeri ini, Perdana Menteri berkata kerajaan menyediakan subsidi yang cukup besar iaitu lebih RM100,000 bagi setiap unit PPR tersebut.
Najib berkata empat projek PPR baharu itu melibatkan pembinaan 1,830 unit rumah dengan kos RM360 juta membabitkan PPR Ulu Tiram, PPR Masai, PPR Permas Jaya dan PPR Bandar Tenggara.
Projek tersebut dijangka dapat dimulakan pada hujung tahun ini atau awal tahun depan dan dijadual siap pada 2020, katanya.
“Ini merupakan komitmen kerajaan persekutuan kepada Johor. Jadi, tidak harus ada kebimbangan mana-mana pihak. Komitmen ini akan berterusan kerana Johor begitu tinggi nilai sejarah kepada perjuangan kita pada hari ini,” katanya.

Polis masih belum menemui petunjuk baharu mengenai kes kematian empat sekeluarga

JOHOR BAHRU: Polis masih belum menemui petunjuk baharu mengenai kes kematian empat sekeluarga di rumah mereka di Rini Residence, Mutiara Rini, di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad, berkata pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat untuk mengesahkan punca kematian empat beranak berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, kematian P Pubalan, 53; isterinya, P Jeya, 46, dan dua anak mereka, P Sharveen, 14, dan P Krishna, 9, masih disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mati mengejut.

“Kita masih tunggu keputusan bedah siasat bagi membantu siasatan kes ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mayat empat beranak itu ditemui kira-kira jam 2.30 petang semalam oleh rakan Pubalan yang ke kediaman berkenaan.

Pubalan ditemui mati tergantung, manakala mayat isterinya ditemui di atas katil berhampiran ruang tamu di tingkat bawah rumah.

Mayat dua anak pasangan itu pula ditemui dengan kesan jerutan pada leher di sebuah bilik lain.