All posts by helmiharon11

Empat sekeluarga maut akibat tekanan

JOHOR BAHRU – Pihak polis tidak menolak kemungkinan kematian empat sekeluarga di kediaman mereka di Mutiara Rini, dekat sini Jumaat lalu berkaitan masalah kewangan dan penyakit yang dihidapi isteri dalam keluarga itu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, pihaknya masih menunggu laporan penuh bagi melengkapkan siasatan kes itu dan mengesahkan punca kejadian sebenar.

“Setakat ini kita dapati tiada unsur jenayah dalam kes ini selepas pemeriksaan dan siasatan dilakukan di tempat kejadian.

“Terdapat dua isu dalam kes ini iaitu kemungkinan disebabkan tekanan wang dan isteri yang tidak sihat. Bagaimanapun kita masih menunggu laporan lengkap untuk menyokong andaian ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Johor sempena Kejohanan Bola Sepak Piala Ketua Polis Negara 2017, di Ibu Pejabat Kontinjen Johor di sini, pagi tadi.

Jumaat lalu, sepasang suami isteri dan dua anak mereka ditemui mati dalam sebuah rumah dua tingkat di Rini Residence, Mutiara Rini pada kira-kira jam 2.30 petang selepas disedari rakan si suami yang datang ke rumah.

R Pubalan, 53, ditemui mati tergantung dalam bilik di tingkat atas manakala isterinya, P Jeya, 46 ditemui mati di atas katil di berhampiran ruang tamu di tingkat bawah.

Sementara kedua-dua anak mereka P Sharveen, 14, dan P Krishna, 9, ditemui kmati dalam sebuah bilik lain di tingkat atas dengan kesan jerutan pada leher.

Advertisements

Kerajaan sokong empat inisiatif baharu Johor

ISKANDAR PUTERI – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abd Razak mengesahkan empat inisiatif baharu untuk negeri Johor, mendapat sokongan sepenuhnya kerajaan pusat.

Kesemua inisiatif itu adalah pelancaran sistem Bas Rapid Transit (BRT), Pelan Induk Kemahiran Johor, Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Dasar Kelestarian Johor.

Najib berkata, sistem BRT merupakan sistem transit berasaskan bas yang berkualiti tinggi yang akan memberikan perkhidmatan yang dipercayai, selesa dan mampu digunakan oleh rakyat.

Menurutnya, kos pelaksanaan BRT berjumlah kira-kira RM2.56 bilion akan dibiayai menerusi kerajaan pusat sebanyak RM1 bilion manakala selebihnya menerusi kerjasama swasta dan awam atau Private-Public Partnership (PPP).

“Kita semua sudah maklum bahawa dalam masa satu dekad sahaja Iskandar Malaysia telah mempamerkan pembangunan serta kemajuan yang amat pesat.

“Dengan berkonsepkan keterangkuman, kerajaan pusat melalui Irda serta kerajaan negeri Johor akan membangunkan sistem BRT sebagai teras kepada infrastruktur pengangkutan awam di wilayah Iskandar Malaysia untuk dua dekad akan datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Ekspo Johor Berkemajuan 2017 di Kota Iskandar di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ir Wee Ka Siong.

Beliau berkata, BRT mengandungi ciri-ciri yang serupa dengan transit aliran ringan, sekali gus menjadikan sistem itu lebih cepat berbanding dengan perkhidmatan bas biasa.

Katanya, sistem itu dijangka beroperasi pada tahun 2021 yang akan menghubungi 90 peratus kawasan Iskandar Malaysia dengan laluan sepanjang 51 kilometer, menerusi 39 stesen dan pusat-pusat seperti mana disebutkan Menteri Besar sebentar tadi.

“Pembangunan sistem BRT ini akan mempunyai sambungan atau link yang lancar ke sistem transit keretapi RTS, High Speed Rail, KTM komuter serta terminal bas antarabangsa dengan jangkan pertambahan penduduk dan pertumbuhan ekonomi, sekali gus meningkatkan peluang pekerjaan.

“Saya yakin BRT bakal menjadi pemangkin untuk memacu Iskandar Malaysia ke tahap lebih berdaya saing lagi,” katanya.

Mengulas mengenai inisiatif Pelan Induk Kemahiran Johor, beliau berkata, ia merupakan langkah untuk menyediakan pekerja berkemahiran tinggi bagi menampung keperluan pada masa depan.

Menurutnya, pelan itu menyentuh lima elemen teras iaitu struktur dan dasar tadbir urus yang kukuh, memupuk minat dan bakat, penyelarasan dan fasilitasi pembiayaan, kualiti dan penyampaian TVET serta penyediaan kemudahan yang inklusif dan menyeluruh.

“Sebab itulah kemahiran berteraskan bidang latihan teknikal dan pendidikan vokasional (TVET) perlu dilakukan secara besar-besaran. Pelan induk ini sejajar dengan pelancaran program TVET Malaysia di peringkat kebangsaan yang telah dilakukan pada 27 September yang lalu.

“Saya yakin pelan TVET ini bila dilaksanakan dengan lancar nanti akan memenuhi keperluan tenaga kerja mahir yang tinggi yang diperlukan. Sebab salah satu daripada pertanyaan yang lazim dibuat oleh bakal pelabur adalah sama ada sesuatu kawasan itu mempunyai pekerja mahir berkemahiran tinggi atau sebaliknya.

“Jadi kalau kita nak kawasan ini lebih maju penyediaan tenaga kerja yang berkemahiran pada peringkat teknikal yang lebih tinggi perlulah disediakan secara komprehensif.

“Saya difahamkan kerja-kerja pembinaan kemudahan TVET moden bernilai RM100 juta di Kulai alan dapat menampung sehingga 20,000 pelatih setahun. Ini adalah satu langkah yang amat-amat tepat sekali,” katanya.

Najib berkata, inisiatif Dasar Kelestarian Johor pula merupakan salah satu daripada tuntutan rakyat termasuklah ketika sesi dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) orang muda.

“Menjaga, memelihara dan melakukan perkara yang boleh membangunkan pembangunan secara lestari adalah sangat-sangat dituntut oleh rakyat.

“Justeru melalui Dasar Kelestarian Johor ini saya percaya ia dapat mencapai keseimbangan antara pembangunan dan alam sekitar yang mampan,” katanya.

Bagi inisiatif terakhir iaitu Program Perumahan Rakyat (PPR), Perdana Menteri mengesahkan bahawa empat projek PPR baru akan dibangunkan di Johor dengan melibatkan pembinaan 1,830 unit rumah dengan kos RM360 juta.

“Projek-projek ini ditambah lagi dengan 500 unit yang saya telah umumkan di Sembrong baru-baru ini ketika kita mengadakan sambutan Hari Raya di Sembrong.

“Ini termasuk PPR Ulu Tiram, PPR Masai, PPR Permas Jaya, PPR Bandar Tenggara dan PPR Sembrong. Projek ini akan dimulakan pada penghujung tahun ini atau awal tahun hadapan dan akan siap pada tahun 2020 nanti insya-ALLAH,” katanya.

Najib berkata, kesemua itu memperlihatkan subsidi kerajaan yang amat besar iaitu lebih RM100,000 setiap unit PPR dapat beri manfaat kepada rakyat.

“Ini semua gambaran kita, komitmen kerajaan kepada negeri Johor khususnya. Jadi tidak lah seharusnya ada kebimbangan, kekhuatiran mana-mana pihak bahawa komitmen ini akan berterusan kerana negeri Johor ini adalah sebuah negeri yang begitu tinggi nilai sejarahnya kepada perjuangan kita pada hari ini.

“Kerana perjuangan untuk membebaskan negara kita bermula dari negeri Johor ini, dari tangga Istana lama negeri Johor wujudnya berputiknya bertatihnya perjuangan kita untuk membebaskan negara kita. Jadi kalau kita lihat dari sudut itu sahaja, kita jangan lupa jasa negeri Johor kepada perjuangan kita masa kini dan akan datang,” katanya.

Selain itu, katanya, dengan wujudnya kerjasama yang amat baik antara kerajaan Johor dan kerajaan persekutuan, masa depan negeri ini adalah sangat terjamin dan akan memasuki era transformasi sehingga Johor akan diiktiraf sebagai The New Economic Powerhouse For Malaysia.

Polis masih belum menemui petunjuk baharu mengenai kes kematian empat sekeluarga

JOHOR BAHRU: Polis masih belum menemui petunjuk baharu mengenai kes kematian empat sekeluarga di rumah mereka di Rini Residence, Mutiara Rini, di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad, berkata pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat untuk mengesahkan punca kematian empat beranak berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, kematian P Pubalan, 53; isterinya, P Jeya, 46, dan dua anak mereka, P Sharveen, 14, dan P Krishna, 9, masih disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mati mengejut.

“Kita masih tunggu keputusan bedah siasat bagi membantu siasatan kes ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mayat empat beranak itu ditemui kira-kira jam 2.30 petang semalam oleh rakan Pubalan yang ke kediaman berkenaan.

Pubalan ditemui mati tergantung, manakala mayat isterinya ditemui di atas katil berhampiran ruang tamu di tingkat bawah rumah.

Mayat dua anak pasangan itu pula ditemui dengan kesan jerutan pada leher di sebuah bilik lain.

PM rasmi Ekspo Johor Berkemajuan 2017

ISKANDAR PUTERI: Datuk Seri Najib Razak tiba di Dataran Kota Iskandar di sini, bagi menyempurnakan perasmian Ekspo Johor Berkemajuan 2017, sebentar tadi.

Perdana Menteri tiba di pentas utama kira-kira jam 10 pagi.

Beliau dijangka merasmikan kemudahan pengangkutan awam Bas Rapid Transit (BRT), Pelan Induk Kemahiran Johor, Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Dasar Kelestarian Johor.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Pertahanan merangkap Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar.

Ekspo Johor Berkemajuan 2017 yang diadakan di sini membuka tirainya semalam dan berlangsung selama sembilan hari sehingga 14 Oktober ini dengan menyasarkan kehadiran kira-kira 500,000 pengunjung.

Ekspo yang kali terakhir dianjurkan 20 tahun lalu itu memfokuskan 12 aspirasi Johor ke arah menuju Wawasan Johor Berkemajuan, termasuk Johor Prihatin, Johor Selamat, Johor Berbudaya, Johor Islamik dan Perumahan Johor.

Kira-kira 31 program ikonik diadakan sepanjang sembilan hari dalam bentuk pameran, pelancaran, persembahan dan majlis perkahwinan beramai-ramai, selain peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Majlis penutup program dijangka disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada 14 Oktober ini.

Pembangunan Johor menakjubkan – PM

ISKANDAR PUTERI: Datuk Seri Najib Razak yakin, hubungan baik Kerajaan Pusat dan Johor adalah antara faktor negeri ini melalui tempoh pembangunan yang menakjubkan.

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan melaksanakan lebih banyak pembangunan untuk Johor kerana negeri ini akan menempuh fasa lebih menakjubkan ekoran hubungan baik kedua dua pihak.

“Sebenarnya, tidak payah beritahu sebab saya dah tahu pasal kemajuan yang begitu memberangsangkan yang dicapai Johor. Malah, saya pernah mengungkapkan Johor sebagai kuasa ekonomi baharu untuk Malaysia.

“Ini satu pengiktirafan jelas yang kadar pertumbuhan malah nadi pertumbuhan negara adalah datang dari Johor.

“Beberapa faktor mengapa Johor akan lalui fasa pembangunan menakjubkan antaranya kerana hubungan sungguh erat Johor dengan Pusat, khusus peranan Menteri Besar untuk menjamin hubungan itu sentiasa kukuh dan akrab.

“Selain itu sumbangan menteri dari Johor dan ahli politik lain yang turut bersama dan sudah tentu di bawah naungan Sultan Johor yang banyak membantu dorongan pembangunan,” katanya berucap merasmikan Ekspo Johor Berkemajuan 2017 di Kota Iskandar di sini hari ini.

Najib berkata, beliau melihat kelainan dan keunikan Johor apabila turut memberi kuasa perancangan pembangunan oleh Pegawai Daerah dan Majlis Tindakan Daerah.

Selain itu katanya, penganjuran Ekspo Johor Berkemajuan adalah bertepatan kerana ia memberikan maklumat lebih jelas dan terperinci yang sekali gus memperbetulkan tanggapan pihak tertentu yang cuba mengelirukan rakyat.

“Seperti yang dinyatakan Menteri Besar, (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) ada yang mendakwa kita cuba jual kebatilan, harapan dan janji.

“Sebenarnya kerajaan kita tidak perlu jual harapan, tidak perlu jual janji sebab kita sudah laksanakan. We are not promising but we are actually delivering,” katanya.